4.22.2010

malangnya metafora: kapitel 2

Emerald tersentak dari lamunannya. Ketukan kecil di tingkapnya membuat harapannya menggunung semula. Semestinya dia telah menunggu kehadiran seseorang sejak dari makan malam lagi. Dia bingkas bangun lalu tangannya segera mencapai tingkap. Dia tersenyum, tapi senyuman itu tidak kekal lama.

"Neil, sudah berapa kali ku bilang, jangan sesekali mendekati tingkap ini!" Emerald membentak. Matanya membulat tanda protes terhadap tindakan anak muda itu cuba memasuki biliknya melalui tingkap itu.

Pemuda berambut coklat itu tersengih melihat Emerald yang sedang marah. Dia tahu benar bahawa Emerald tidak sukakan perbuatannya itu. Dia segera mengundur diri lalu mengambil tempat di salah satu dahan besar yang betul-betul berhadapan dengan tingkap bilik Emerald. Kakinya diayunkan sambil menyambung sengihannya itu.

"Aku amat keliru dengan kau Emerald." Neil bersuara, memecahkan sunyi di Hafestord Street. Kali ini, dia tersenyum lebar pula.

"Maksud kau Neil?" Emerald bingung. Dia tahu soalan yang ditujukan oleh Neil bukan bermaksud sedemikian, tetapi hatinya masih mahukan penjelasan dari pemuda itu.

"Maksud aku, adakah kau benar-benar orang Jordbro? Tengoklah pemuda-pemudi di sini. Bebas tanpa batasan mahupun sekatan. Mereka bebas berbuat apa sahaja antara mereka. Tengoklah, masih ada yang baru pulang dari bersuka ria dia kelab-kelab malam." Neil diam seketika. Dia mahu mesejnya sampai ke Emerald dengan cara yang lembut sekali.

"Tetapi berbeza bagi kau Emerald. Kau berlainan. Kau menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Kau menjaga dirimu seperti menjaga intan permata yang tidak ternilai harganya. Kau istimewa di Jordbro. Kerana kau adalah kau." Neil menghabiskan hujahnya.

"Oh. Itu maksudmu? Jika begitu, aku berbeza kerana aku mempunyai prinsip kehidupanku tersendiri. Biarlah mereka leka dan lalai dengan dunia mereka. Aku bukanlah gadis stereotaip kerana akulah gadis termuda dapat menyertai program MEASTRAF. Jika berbeza bagimu adalah berbeza bagiku, maka tidak sehaluanlah pendapat kita." Emerald menjawab dengan penuh keyakinan.

Dia tahu dia berlainan dari remaja cliche yang sering menghabiskan masa mereka melakukan aktiviti liar lagi tidak terkawal. Semua ini adalah berkat ajaran dan didikan awal dari ibu dan ayahnya, Emily Terrysiff, dan Joshua Terrysiff. Merekalah yang mendidiknya supaya memegang teguh kepada prinsip yang betul. Mereka jugalah yang menyelia aktiviti harian anak-anak mereka. Semestinya semua ibu bapa mahukan yang terbaik bagi anak-anak mereka.

"Maafkan aku jika membuatkan kau terasa." Neil membalas. Dia berasa sedikit serba salah kerana membangkit isu remeh itu.

"Tidak perlu, aku sedikit pun tidak tersinggung sama sekali." Emerald menjawab segera. Dia tersenyum melihat Neil yang berada dalam keadaan serba salah. Dia melihat jam di dinding. Hampir pukul 3 pagi.

"Neil, beginilah, aku ada hajat untuk diminta dari kau, wahai sahabat." Emerald menyambung semula perbualan.

"Aku akan tunaikan selagi yang termampu." Neil menjawab segera.

"Begini, aku mahu kau tengok-tengokkan keluarga ku ini." Emerald menjawab dan kembali bisu. Dia seolah-olah sedang memikirkan apa yang harus dikatakannya supaya tidak di salah ertikan oleh Neil.
Categories:

0 coretan:

Post a Comment

This box must be used with care.