"Assalamualaikum!" Aidil
bersuara. Telefon pintarnya digenggam separa erat. Iphone 3GS ciptaan syarikat
terkemuka, Apple. 16gb sahaja. Apabila ditanya, dijawabnya tidak guna banyak
applikasi jadi tidak perlu cerewet untuk beli kapasiti yang lebih besar.
Segala urusan universiti telah pun diselesaikan oleh Ubaid
dan Ifwat. Senior yang ada sangatlah
membantu.
"Waalaikumussalam, siapa ni
ya?" suara orang tua bergema disebalik telefon pintar itu.
"Anak mak cik Rahmah yang handsome tu!" Aidil menjawab kembali.
Dunianya terasa terhenti seketika mendengar suara lembut perempuan tua yang
membesarkannya hingga dewasa.
"Anak mak cik semuanya handsome!" Puan Rahmah membalas. Si
ibu cuba turut serta usikkan yang dimulakan oleh anaknya itu. Kedengaran si ibu
sedang menahan ketawanya.
"Oh, mak perli saya ya. Ni
Aidil la mak. Mak sihat ka?" pelat bahasa utaranya ternyata jelas sekali.
Sudah beberapa kali dia cuba hubungi ibunya di Perlis tetapi tidak terjawab.
Kemungkinan ibunya sibuk dengan urusan di rumah dan pejabat. Puan Rahmah adalah
seorang kerani di sebuah sekolah rendah yang berdekatan dengan tempat
tinggalnya.
"Alhamdulillah, mak sihat
saja. Cuma lenguh-lenguh sikit tang sendi ha. Tadi Aidil ada call mak ka? Awat
Aidil call time mak kerja? Mak tak dapat angkat la."
Sekolah Kebangsaan Simpang Empat
merupakan antara sekolah tertua di daerah Simpang Empat. Aidil pernah
menghadiri sekolah tersebut sehingga dia berjaya mendapat tempat di sebuah
sekolah berprestij iaitu Maktab Rendah Sains Mara Langkawi. Ibunya merupakan
kerani di sekolah itu sejak sekolah itu mula-mula dibuka lagi manakala arwah
ayahnya merupakan pembantu makmal di sekolah itu.
"Oh, Dil ingat tu time mak rehat. Saja call mak. Nak lepas rindu. Risau
kot-kot mak tak sihat." Aidil menjawab. Dia khuatir jika penyakit ibunya
menyerang kembali.
"Mak okay. Hari tu Abang Syamil ada balik jenguk-jenguk mak. Lagipun Kak
Jah dengan Aunty Suzan kan ada."
Ibunya menjawab walaupun sedikit tersekat-sekat.
Ibunya tidak mahu anaknya itu
susah hati di sana, lantaran menganggu pelajaran. Begitulah pengorbanan si ibu,
tidak pernah mahu menyusahkan anak-anak, biarlah kesusahan itu memakan dirinya
sendiri. Jika boleh gantikan kemewahan dunia dengan kesejahteraan anak-anak,
mana-mana ibu sanggup lakukannya. Begitulah Puan Rahmah. Tidak pernah
menyusahkan mana-mana orang untuk besarkan anak-anaknya. Tidak pula diajar
anaknya untuk meminta-minta.
Aidil ingat kembali akan pesanan arwah Ayahnya yang pada
suatu malam selepas selesai solat maghrib secara berjemaah.
"Hidup di dunia ini sementara. Jangan lupa kewajipan
kita sebagai hamba Allah. Perlu selalu bersyukur."
Encik Ghazali memandang tepat kepada anak-anaknya satu
persatu. Dia menarik nafas dan menghelanya semula.
"Ayah minta maaf jika ayah tak mampu untuk mewahkan
kamu. Ayah dan mak kamu dah berikan segalanya yang kami mampu supaya kamu dapat
belajar dengan senang. Tidak mengapa jika tidak mewah dengan harta dunia tetapi
mewah dengan ilmu."
Dia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Abang Syamil. Kak
Ila hanya mengangguk tanda setuju.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta
melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang
serba kekurangan” - Hadis Riwayat Bukhari
"Kalau terasa diri kita serba kekurangan, lihatlah
mereka yang lebih memerlukan. Ada yang tak ada kaki Aidil, apatah lagi kasut
baru,"
Aidil terdiam, matanya berpinar. Baru petang tadi dia
merengek-rengek dibelikan sepasang kasut yang baru untuk ke sekolah kerana
diperkecilkan sahabatnya yang lain.
"Aidil minta maaf ayah." Dia menghulurkan
tangannya kepada ayahnya.
"Tidak mengapa Aidil. Ayah cuma nak kamu semua tahu
erti bersyukur."
"Hello.. Hello..
Aidil dengar tak?" suara ibunya bergema di sebalik telefon pintar itu.
"Ada ja mak, cuma teringatkan arwah ayah," ujar Aidil.
"Tak apalah kalau macam tu. Ni mak nak pesan ni!"
"Pesan apa mak? Saya tak dapat lagi cari menantu untuk mak ni." Aidil ketawa kecil
Ibunya turut ketawa. Dua anak beranak itu suka sungguh saling mengusik.
"Bukan yang itu. Mak nak pesan, jangan sesekali susahkan orang ya Aidil, tak apa kalau
orang susahkan kita. Okaylah, Kak Jah dah sampai dah. Mak nak pi surau solat
Isya' ni. Sembang lain kali ya. Jaga diri!"
"Baiklah mak. Assalamualaikum,"
Aidil termanggu di atas anak tangga. Dia rindukan Ayahnya,
seorang yang sangat menekankan perihal agama terhadap keluarga. Pelbagai
perkara datang menyergah mindanya dan dia merasakan seolah-olah tidak akan ada
kesudahannya.
"Oit, dok termenung ape tu?!" Razif menepuk
belakangnya.
"Takde ape lah, saja ambik angin malam. Panas la dalam
rumah Meredith ni." Aidil menoleh ke belakang. Razif dengan pakaian
tidurnya serba lengkap kelihatan masih segar walaupun sudah hampir lewat malam.
Keadaan sekeliling rumah Meredith kelihatannya sunyi.
Rumah-rumah sudahpun dimalapkan lampu tanda isi rumahnya sudah membuai mimpi
yang lena. Hanya kedengaran suara cengkerik yang kadang-kala memecaha kesunyian
malam.
"Aidil, malam esok ada makan-makan dekat rumah SQ tu.
Ang tau kan?" Razif cuba untuk berbahasa utara. Pelatnya sangatlah
menggelikan hati.
"Rasanya macam ya. Ubaid ada bagitahu."
"Jomlah tido, dah lewat ni. Esok depa nak bawak kita
round city pulak" Razif masih cuba untuk berbahasa utara walaupun tidak
dilayan oleh Aidil.
Malam musim panas itu sedikit suam dan sedikit hembusan
angin menghembus sekali-sekala menyejukkan suasana.
Inilah bumi Adelaide.
0 coretan:
Post a Comment
This box must be used with care.