6.28.2010

tali kasut

vans-united-arrows-era-2

“Ayah!”

Pintu bilik Encik Ghazali dibuka pantas tapi kemas, seolah-olah orang yang membukanya tahu-tahu supaya tidak terhentuk dinding bercatkan warna kuning cair itu. Bukan apa, takut catnya terkeluar.

Seorang remaja meluru masuk, lalu segera melabuhkan punggungnya di tepian katil. Mukanya berkerut sejuta makna.

Encik Ghazali yang sedang membelek surat khabar terdiam. Dia seolah-olah tidak mengedahkan ribut taufan yang berlabuh bersama. Ternyata dia sudah masak dengan perangai anak bongsunya itu. Manja dan keras kepala.

“Ayah!” remaja itu kembali bersuara.

“Kenapa ni Adam? Adam nak apa?” Encik Ghazali menjawab. Dia yakin kali ini, halnya mesti bersangkut paut dengan abangnya, Shahrul.

“Adik mahukan kasut macam Abang. Ala, tak mahu strap-on. Nak ikat dengan tali punya!” Adam membahasakan dirinya adik. Nadanya bangga. Dia bangun lalu mendapatkan ayahnya di meja bacaan.

“Kenapa baru sekarang nak bising? Lagipun Adam bukannya tahu ikat tali kasut pun.” Encik Ghazali menjawab tenang. Dia tahu tidak akan termakan oleh si anak mendengar jawapannya ini. Adam pantang melihat  si Shahrul lebih, pasti dia mahukan juga. Jaraknya tidak jauh, 2 tahun saja.

“Ala, satu kelas pakai kasut ikat dengan tali tau. Adam sorang je tak.” nadanya perlahan. Tunduk mukanya merah padam. Tangannya digenggam erat di sisi.

Encik Ghazali menutup lembaran surat khabar lalu menatap anaknya itu. Taktik lama tapi berkesan. Anak muda remaja sekarang, tambah-tambah si bongsu. Haih. Encik Ghazali mengeluh kecil. Bilakah kau mahu matang, walaupun sedikit?

“Satu syarat!”

Adam segera mengangkat mukanya. Senyuman terukir lebar tanda gembira protesnya berjaya.

“Ikat tali kasut sendiri. Jangan mintak tolong Ayah, Emak, Kak Ara, Kak Ida, dengan Abang. Paham?” Encik Ghazali memandang tepat ke arah mata anak bongsunya itu. Matanya keras tapi penuh penghayatan kasih dan sayang.

“Baik ayah!” Matanya membulat. Permintaannya terlaksana. Adam segera keluar dari bilik itu, mukanya gembira tak terkata. Akhirnya, dia dapat juga merasakan memakai kasut sekolah bertali. Selepas ini, Abu, Ahmad, Raju dan Mei Chia pasti tidak boleh ketawakan dia lagi.

------------------------------------------------------------------------------

Waktu rehat di Sekolah Menengah River Free Jones

“Hahaha! Apa ni Adam?” bentak Abu.

“Ini ke cara kau ikat tali itu Adam?” Raju bertanya, sindirnya tajam.

Mei Chia memandang ke arah kasut itu. Tangannya tidak lepas dari menunjuk kesilapan besar si Adam.

“Mana ada orang ikat tali tu macam ikat bungkusan nasi lemak Adam!” Ahmad ketawa berdekah-dekah. Dia tidak dapat bertahan lagi.

Mereka ketawa besar. Muka Adam merah menyala. Dia sungguhnya malu tak terkira.

“Tapi aku cuma nak..” Adam cuba menjawab.

“Lain kali, kalau tak tahu, jangan buat-buat pandai!” Abu melawan kembali.

Pengkhianatan. Tanpa berlengah lagi, dia mengangkat langkah. Langkahnya seribu, malu jika lebih ramai melihat kebodohonnya itu. Satu tempat dia boleh bergantung, si Shahrul.

“Kenapa kau ikat camni Adam? Mana ada orang lilit tali kasut tu!” Shahrul tersengih. Tangannya segera cuba meleraikan ikatan mudah dibuat oleh adiknya itu. Sayangnya pada si Adik, biarlah si Adik tertanya-tanya.

“Adam, nak berdikari! Adam tak nak lagi pakai kasut strap-on. Budak-budak je pakai kasut macam tu!” Matanya merah menahan linangan air mata. Dadanya naik turun menahan sebak. Marahnya hanyalah pada diri sendiri, cuba matang akhirnya memperbodohkan diri sendiri.

Shahrul selesai mengikat kemas tali kasut Adam. Dia bangun lantas tersengih melihat keadaan adiknya itu.

“Balik nanti Abang ajar ikat kasut nak?” Shahrul cuba memujuk.

“Baik!” Adam menjawab segera. Dia tersenyum cuba untuk berterima kasih. Dia pun lantas beredar dari koridor tingkatan 3 itu.

Shahrul berdiri tegak di situ melihat si Adam berjalan perlahan menjauhi blok akademik. Dia diam memikirkan sesuatu.

Rupanya, Adam sudahpun mulai matang.

P/s: It’s okay to make mistakes and grow out from it :)

Categories: ,

1 comment:

This box must be used with care.