2.25.2011

hati yang memberi setelah menerima.

assalamualaikum semua.

jam berwarna jingga di dinding menunjukkan pukul 10 pagi. mug besar yang berisi teh lady grey sangat menyelerakan di waktu pagi. aromanya yang berbau buah oren dan lemon menyebabkan penulis tidak lagi berasa mengantuk bahkan terdetik di hati penulis untuk menulis sesuatu yang menyentuh hati penulis. seketika di dalam perjalanan pulang dari rumah junior semalam, penulis sempat mendongak ke langit. ianya terang, tidak berawan seolah-olah memberi ruang untuk Allah Maha Pencipta mempamerkan keagunganNya mencipta bintang-bintang di angkasa. penulis terlalu kaget memikirkan diri sendiri yang sering alpa dan lemah jika dibandingkan dengan nilai ciptaan sebuah bintang. bintang yang bukanlah objek hidup, tapi masakan dia mengingati Allah swt lebih dari kita yang bernyawa?

kita manusia sering terlepas pandang, sesuatu yang kecil hanyalah sekecil nilainya. mungkin itulah kekurangan kita yang sering menilai sesuatu dari luaran, dari tanggapan, dari pandangan, dari pemahaman, dan dari penelitian. bukan semudah itu, wahai sahabat semua. kita bukanlah sempurna untuk memahami semua. ada yang terselindung di sebalik pemahaman kita. sungguhpun, hati penulis beruntung, kerana dapat merasa sendiri keindahan dan kejernihan kebaikan manusia di sekeliling penulis. apa yang penulis terima, penulis salurkan kembali kepada manusia lain. kebaikan yang ada, jangan dikedekut, sungguh rahmat Allah swt luas, bahkan lebih luas dari lautan di dunia.

hati yang memberi kerana terpanggil

penulis rasa terpanggil mungkin sebab kebaikan manusia itu ada kesannya. batu yang jika dititiskan air setiap hari akan berlekuk, masakan hati manusia tidak mudah cair dek sentuhan kebajikan Allah swt yang disalurkan melalui orang sekeliling? jikalau hati batu sekalipun, jika berterusan dipupuk, akan lentur juga suatu hari nanti, cuma kesabaran menjadi pengukur untuk menanti waktu tibanya hari itu. penulis mengaku hati penulis mudah tersentuh. penulis gemar meletakkan penulis ditempat orang lain, untuk membayangkan diri jika berada di tempat mereka. bukan mudah kerana itu adalah anggaran semata-mata.

hati yang bersih akan terasa terpanggil kearah kebaikan. sungguh itulah fitrah sebenar kejadian manusia yang sukakan kebaikan. pernah di riwayatkan oleh diriwayatkan oleh Imam Al
Bazzar dan Ath Thabarani dari Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda (yang bermaksud):
“Manusia adalah keluarga Allah, kerana itu orang yang paling Allah cintai ialah yang paling bermanfaat bagi keluarga-Nya”
Penerangan lanjut telah dibuat oleh As Sayyid Al Imam Muhammad bin Alawi Al Maliki menjelaskan dalam kitabnya “Khoshoishul Ummah Al Muhammadiyyah” bahawa 'keluarg Allah' bermaksud hamba-hamba Allah swt yang bergantung kepadaNya dalam kehidupan seharian di mana Dialah yang menanggung kehidupan mereka.

Dan disinilah dapat di sampaikan, bahawa yang terbaik di antara kita adalah mereka yang sering memberi manfaat, pertolongan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan. apa salahnya kita memberi kepada mereka yang betul-betul memerlukan? mana tahu suatu hari nanti, jika kita memerlukan, akan ada pertolongan Allah swt melalui orang-orang yang pernah kita suatu masa dahulu tolong? caturan Allah swt sangatlah unik dan tidak dapat diduga sama-sekali.

Hadis yang mempunyai message yang sama juga pernah diriwayatkan dalam musnad Asy Syihab dari Abdullah bin Abbas, Nabi Muhammad SAW bersabda (yang bermaksud):
“Manusia yang terbaik adalahyang paling bermanfaat bagi sesama manusia”.
Apalah salahnya jika kita menghulurkan tangan untuk meringankan beban mereka yang dalam kesusahan? kesusahan dan keletihan dalam menolong akan disusuli pahala yang berlipat ganda. apa lagi yang kita-kita mahu selain pahala yang sangat lumayan nilainya? Kalau difikirkan kembali keadaan penulis yang terkontang-kanting di bumi orang, penulis akan tersenyap seketika. jika tiada mereka untuk membantu, di manakah penulis? ya, mungkin penulis akan mendapatkan rumah sendiri tanpa bantuan mereka, dan kereta sendiri tanpa bantuan mereka juga. tapi apa yang penulis maksudkan adalah nilai erti kehidupan itu.

kehidupan untuk memberi.

jadi, penulis memberikan senyuman terbaik penulis kepada mereka yang pernah membantu penulis pada suatu masa dahulu, yang mengajar erti hidup untuk memberi, hidup yang lebih bermanfaat kepada orang lain.

terima kasih kamu semua.

p/s: hati yang memberi setelah menerima.
Categories:

1 comment:

This box must be used with care.