6.17.2011

Berkatkah waktumu itu?


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. 
(al-‘Asr 103:1-3)

Di dalam surah tersebut, Allah swt telah bersumpah dengan Masa, dan manusia akan selalu berada dalam keadaan rugi setiap berlalunya masa tersebut. Hai, pelik ni, terus-menerus dalam kerugian. Sabar, ada sambungannya. Seterusnya Allah swt telah menetapkan syarat kepada manusia bahawa mereka semua berada dalam kerugian dan cara untuk keluar dalam lubang penuh kerugian yang tidak bermanfaat itu adalah dengan beramal soleh. Bukan sekadar beramal soleh, kita juga mestilah berpesan-pesan, yakni, nasihat-menasihati orang lain dengan kebenaran dan juga penuh dengan sifat sabar.




Cuma tiga ayat sahaja, tapi penulis yakin, impaknya lebih besar dari sekadar beberapa baris ia menghiasi kitab suci Al-Quran. Masa yang diperuntukkan kepada setiap manusia adalah sama, tidak mungkin Si A mendapat 3-4 jam lebih masanya jika dibandingkan dengan orang lain. Setiap 1 minit bersamaan 60 saat. Tidak mungkin ia bersamaan 100 saat bagi sesetengah manusia yang lain. Walaupun kita telah mengetahui dan menerima hakikat bahawa semua orang mempunyai jumlah masa yang sama, kita masih merasakan kita tidak mempunyai masa yang cukup.



Jikalau begitu, sila renungi kembali masa yang digunakan. Adakah kamu memperbanyakkan amal, ataupun memperbanyakkan soal? Adakah ia diisi dengan berhemah ataupun perancangan kamu masih lemah?

Keberkatan waktu

Pernah suatu ketika, penulis sendiri telah diherdik oleh abang penulis sendiri. (penggunaan herdik adalah hiperbola semata-mata. harap maklum.) Penulis banyak mengeluh, merungut dan mempersoal kenapa penulis sering tidak mempunyai masa yang cukup, sedangkan ramai kawan-kawan penulis berjaya membuat pelbagai perkara dan menyiapkannya jauh lebih cepat berbanding penulis. Semua orang mempunyai waktu yang sama iaitu 24 jam. Masakan mereka lebih hebat dari penulis?


Termasuklah abang penulis sendiri yang penulis berasa amat kagum melihat dia aktif dalam aktiviti tarbiyahnya dan tidak juga melupakan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki kepada keluarga dan juga seorang pak cik kepada anak-anak saudara. Kehidupannya sangat penuh dengan aktiviti yang berfaedah. Masa yang lapang digunakan untuk dirinya sendiri, sama ada ke kuliah, mahupun ke program-programnya. Masa yang ada di rumah digunakan untuk meluangkan masa bersama keluarga sepenuhnya. Kadang-kadang mak didapur dibantunya walaupun hanya sekadar membeli barang di supermarket berdekatan. Anak-anak saudara pula menyayanginya kerana dia sering meluangkan masanya untuk membawa mereka berjalan-jalan. Bagi penulis sedikit pun masanya tidak digunakan untuk membuat perkara yang tidak berfaedah.

Tetapi setiap bebelan/herdikan Abang penulis pasti ada nasihat dan hikmah yang menyusuli di belakang. Dia melemparkan sebuah pertanyaan retorik kepada penulis.

"Pernah tengok tak orang lain, kalau dalam 1 jam, boleh siapkan banyak perakara dengan mudahnya? Pernah tengok tak orang lain, 3-4 jam pun belum tentu dapat siapkan apa pun?"

"Pernah, macam adik la." penulis jawab sambil tersengih.

Abang penulis tersenyum, dan menjawab "Rahsianya, ada pada keberkatan waktu. Kalau waktu kita tak berkat, memang tak dapat la nak siapkan apa pun."

Memori penulis sedikit kabur di sini. Rasanya ada beberapa perkara yang telah Abang penulis senaraikan untuk mendapatkan keberkatan waktu. Antaranya yang penulis ingat adalah;

Peruntukkan masa untuk Ibu dan Ayah.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. (Al-Tirmizi)
Melalui hadis ini, kita dapat simpulkan betapa pentingnya hubungan kita dengan ibu dan ayah. Tanpa mereka siapalah kita. Mereka yang bersusah payah membesarkan kita dari kecil dan tidak pernah berkira dalam setiap perkara dan masa yang dicurahkan kepada anak-anak. Bagi mereka yang duduk dekat dengan ibu bapa mereka, lawatlah mereka selalu. Tidak susah, tidak perlu belikan segala keindahan dunia pun, cuma bertanyakan khabar pun sudah mencukupi. Jika tidak berkesempatan, telefon mereka pun cukuplah. Bertanyakan khabar, bertukar-tukar cerita seharian. 


Bagi mereka yang duduk di jauh di perantauan macam penulis ni, teknologi kan sudah terlalu canggih. Tipulah kalau susah sangat nak call. Sekarang kita hidup di zaman di mana teknologi menghubungkan semua manusia tidak kira di mana saja. Kalau tidak mampu telefon, ada lagi pelbagai alternatif seperti Skype dan Yahoo! Mesengger. Jangan beri alasan untuk tidak menelefon ke rumah kerana sibuk. Tidak perlu lama pun, 10 minit bertanyakan khabar pun dah mencukupi. Hati ibu dan bapa bukan mahukan harta dan benda, tetapi hanya mengharapkan kasih dan sayang yang mereka curahkan selama ini dicurahkan kembali kepada meraka. 

Sungguh kalau ibu bapa redha terhadap kita, Allah swt pun akan redha terhadap kita, dan apabila kita mendapat keredhaan Allah swt, tidak terungkap oleh kata-kata akan perasaan itu. 

Masa yang ada sedekahkan!

مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ. 
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah : 261)
Macam mana nak sedekahkan masa kalau masa yang ada sama buat semua?

Begini caranya. Apa kata anda luangkan masa yang lapang untuk membantu orang lain? Mungkin membantu coursemate anda yang tidak pernah-pernah faham soalan Mathematics IA. Ajarkan bagaimana caranya untuk menjawab soalan tersebut. Ya, beginilah caranya untuk menyumbangkan masa yang ada kepada orang lain. Secara tidak langsung, anda telah melakukan kebajikan kepada sahabat anda, dia pula akan pasti lebih menghargai anda sebagai seorang sahabat yang banyak membantunya dalam hal ehwal pelajaran. Anda juga akan lebih memahami perkara yang diajarkan kepada sahabat. Malaikat di sebelah kanan pun gembira mencatatkan perbuatan kamu. Its a win-win situation. Semua orang untung.

Ingatlah apabila kita bersedekah ke jalan Allah swt, sesungguhnya Allah swt akan membalasnya dengan kadar yang lebih lumayan dari apa yang kita dapat bayangkan.

Masa yang ada gunakanlah sebaik-baiknya kerana masa yang berlalu tidak akan dapat diulang kembali. Hargai juga mereka yang ada di sekeliling mu. Apa gunanya hidup beratus-ratus tahun tetapi amalannya hanyalah penuh kemaksiatan dan kejahatan? Jadi, tunggu apa lagi, carilah keberkatan waktu. :)

Pesanan untuk diamalkan bersama.
Categories:

0 coretan:

Post a Comment

This box must be used with care.