12.15.2011

Kisah Jacaranda Kita, Episod 1: Permulaan Baru!


Tap, tap, tap!

Bunyi papan kekunci ditekan rapi memenuhi segenap ruangan di dalam bilik sederhana kecil itu. Kadangkala berhenti, kadangkala kembali berbunyi. Jam merah di dinding menujukkan pukul 7 pagi. Awal. Jarang sekali penghuni di bilik kecil itu bangun seawal itu. Kelihatan seorang remaja sedang meniarap diatas katil sambil mukanya menghadap ke arah komputer riba. Mata dibulatkan sebulat-bulatnya, cuba menahan dari tertidur. Hari ini adalah hari yang bermakna buat mereka yang telah hampir 1.5 tahun menjalani metrikulasi South Australia Matriculation. Remaja yang bertubuh sederhana itu turut berdebar. Segala titik peluh usahanya yang ditaburkan selama ini bakal diketahui pada hari ini jika ia membuahkan hasil atau tidak. Walau apapun dia mengerti segala yang bakal terjadi sudahpun tertulis oleh Allah swt, dan dia harus redha.

87.25/100

Dia meratapi nombor itu dengan tajam, seolah-olah tidak mempercayainya. Alhamdulillah, hatinya menghela nafas syukur. Yang pasti dengan keputusan yang demikian, dia lepas untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Segala usaha yang ditaburkan berbaloi. Mengulang kaji pelajaran beramai-ramai di bilik bacaan. Membuat buku kira-kira dan bajet bulanan untuk subjek Accounting. Mengira probability dan algebra dalam Mathematics. Mengkaji turun naik mata wang untuk subjek Economics. Menelaah berjela-jela case law untuk subjek Law. Dan tidak dilupakan presentation demi presentation untuk subjek English.

Tanpa berlengah lagi, dia berlari keluar untuk mendapatkan ibunya di dapur.

"Mak!~ Result Dil dah keluar Mak!" remaja itu bergegas ke dapur.

"Result apa ni?" si ibu bertanya kembali.

"Result foundation la mak, nak fly ni!" si anak menjawab kembali. Nadanya semakin galak dengan kegembiraan.

"Hah, macam mana result kamu tu, Aidil? Lepas ke tak?" si ibu bertanya lagi, walaupun dia barangkali sudah dapat mengagak melalui riak wajah Aidil yang tidak dapat disembunyikan lagi.

"Alhamdulillah, Dil lepas mak!"

Aidil menerpa ke arah ibunya sambil dibuka luas tangannya. Dipeluk erat orang tua itu.

"Alhamdulillah, segala yang Dil telah usahakan berbaloi. Bagus jugak Dil dapat study di overseas berbekalkan tajaan. Mak tak mampu nak hantar kamu jauh-jauh nak. Tambah-tambah lagi mak seorang je yang nak tampung kamu semua."ibunya membalas. Nadanya sayu, suaranya terketar-ketar. Air mata mula begenang di kelopak matanya.

"Mak, jangan sedih-sedih macam ni. Dah hampir dua tahun ayah pergi."

Aidil mengesat air mata ibunya yang belum sempat mengalir habis ke pipi.

Pemergian Encik Ghazali masih terasa bagi keluarga itu, terutamanya buat si ibu, Puan Rahmah. Tambahan pula pemergian itu tidak disangka-sangka.

Barah otak. Encik Ghazali meninggal akibat menghidapi barah otak. Ketika keluarga yang lain sedang bergembira menyambut barakahNya di bulan puasa, keluarga Encik Ghazali tidak putus-putus keluar masuk hospital. Ujian dariNya buat hambaNya yang taat. Dan ujian yang datang kepada keluarga mereka adalah dalam bentuk musibah yang tidak dapat dijangka kehadirannya. Pada tanggal 12 November 2008, Encik Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak.

Sesungguhnya kematian itu dekat dengan kita, tidak kira umur, waktu dan tempat.

"Mak, ni hari yang gembira la. Senyum la sikit." Aidil cuba menenangkan ibunya.

Puan Rahmah mengukir sebuah senyuman, walaupun kelihatan sedikit terpaksa.

"Barang kamu dah cukup belum? Baju, seluar?" si ibu bertanya, tangannya kembali memotong lobak. "Kalau tak cukup, lepas Asar kita keluar ke pekan, beli." Sebak di dadanya ditahan. Khuatir akan menjejaskan mood di pagi itu.

"Eh, sabar dulu mak, kena meeting dulu dengan para sponsors, baru boleh tahu benda apa nak beli atau bawak ke Australia nanti." Aidil menjelaskan kepada ibunya.

Yang pasti, hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di Australia nanti tercapai. Dan seharusnya Aidil memanjatkan kesyukuran sepenuhnya kepada Allah swt yang memungkinkan segala ini terjadi. Jikalau bukan kerana dengan kehendakNya, mana mungkin ia akan berlaku sedemikian rupa.

--------------------------------------------------------------------------------------

"Semua barang dah ada? Jangan ada yang tertinggal Aidil. Passport, visa, surat tawaran semua dah ada?" si ibu bertanya. Dia membelek-belek bagasi si anak dengan rapi. Takut-takut Aidil terlupa akan barangnya. Aidil bukan ke Kuala Lumpur tetapi ke Adelaide. Kalau ada yang tertinggal, susah juga buat ibu itu untuk mengeposkan kepada anaknya.

"Dah ada mak, semua Aidil simpan dalam beg galas tu." Aidil menunjukkan beg galasnya yang tersadai di sebelah bagasi. Matanya tidak dilepaskan dari cermin. Dia cuba mengikat rapi tali leher itu dengan serapi mungkin. Ketika mengikat tali lehernya, dia teringat kembali perbualan dengan abangnya tempoh hari.

"Aidil, Abang long dengan Angah doakan yang terbaik buat Aidil. Jaga diri di negara orang. Jangan lupa kita ni Muslim, be like one and act like one." Abang Syamil menasihatinya. Ringkas tapi penuh makna.

"Jaga hubungan kamu tu Aidil. Jangan berkawan dengan sembarangan orang. Kita kena berhati-hati, tak kiralah di mana-mana pun." Kak Ila memberi peringatan kepadanya.

"Dah siap ke belum Aidil, jom dah nak lambat ni. Bas pukul berapa?" ibunya bertanya lagi. Risau jika anaknya akan terlepas bas ke Kuala Lumpur.

"Pukul 8.15 mak," bagasinya di angkat ke dalam kereta.

Di sepanjang perjalanan, pelbagai nasihat telah ditaburkan kepada si anak oleh si ibu. Antaranya supaya jangan tinggal solat dan berhati-hati di negara orang. Ibunya khuatir kerana ini adalah kali pertama dia terpaksa berpisah dari anak bongsunya itu, dan kali pertama itulah juga mereka berpisah di antara benua. Hati ibu yang mana tidak pernah risaukan anak-anak.

"Mak, Aidil pergi dulu ya. Doakan Aidil selamat sampai di sana," tangannya memeluk erat tubuh kecil si ibu. Air mata yang ditahannya dari rumah itu tidak dapat dibendung lagi. Pipinya basah dengan linangan air mata.

"Halalkan makan minum Dil mak. Aidil mintak maaf kalau selama ini suka sangat menyusahkan mak. Aidil nak mak tahu yang Aidil tak pernah putus-putus mencuba yang terbaik supaya mak merasa bangga mempunyai anak seperti Aidil."

"Mak tahu tu, dan mak halalkan segalanya. Janji satu perkara dengan mak sebelum kamu pergi."air mata si ibu mengalir tiada henti.

Aidil melepaskan pelukan sambil matanya merenung ke arah muka ibunya. Dia menantikan apakah perkara yang bakal dijanjikannya kepada ibunya.

"Kita ni tak ada harta yang banyak, Dil. Kita cuma ada agama kita. Jagalah diri kamu dekat sana, dan peliharalah diri kamu seperti seorang muslim yang lain. Boleh buat macam tu Aidil?" Ibunya bertanya kembali.

"InsyaAllah boleh, mak. Aidil janji."

Kakinya melangkah ke arah bas. Detik demi detik berlalu, semakin sikit detiknya bersama si ibu. Dia melambai kepada ibunya dari tempat duduknya. Seketika lagi dia bakal meninggalkan bumi Malaysia dan menerjah ke langit Australia. Dan siapa yang bakal tahu apa yang berlaku melainkan Dia yang Maha Mengetahui?
Categories:

1 comment:

This box must be used with care.