1.05.2012

Kisah Jacaranda Kita, Episod 2: Agamaku Agamaku, Agamamu Agamamu!


"Isyarat tali pinggang keledar telah pun dinyalakan, para penumpang dinasihatkan supaya berada di tempat duduk sehingga lampu isyarat tali pinggang keledar dipadamkan."

Suara lembut wanita itu kembali bergema tetapi kali ini dalam bahasa inggeris. Aidil membelek tali pinggang keledarnya sambil memastikan ia dirapikan dengan kemas. Gusar, kerana ini adalah pengalaman pertama baginya menaiki kapal terbang.

Suasana di dalam kabin itu sunyi, kadang kala ada suara sumbang dengkuran orang yang telah nyenyak tidur berbunyi memecahkan kesunyian. Jarum jam di skrin di hadapannya menunjukkan pukul 2 pagi. 2 pagi Malaysia ataupun Australia, Aidil sudah hilang kiraannya. Tetapi kalau menurut peta yang terpampang di hadapan kabin, mereka telah pun berada di perairan Lautan India. Dia cuba memejamkan matanya kuat-kuat. Rasa letih tidak membantunya ingin tidur, barangkali perasaan resah yang melanda dirinya. Pemergiannya membawa seribu satu perasaan gundah. Bagaimana kedaan ibunya nanti yang terpaksa bersendirian di rumah ketika abang long dan kak ngahnya masing-masing sibuk dengan tugasan mereka? Siapakah yang akan menjaga perempuan tua itu? Makan minumnya? Hanya Allah swt sahajalah tempatnya bergantung supaya ibunya diperlihara selalu.

Dia cuba untuk tenang, lalu melihat keadaan kabin sambil memerhati gelagat penumpang yang ada.

Di sebelah kanan Aidil, seorang lelaki Inggeris tua sedang santai sambil mendengar musik dari alat pemain musiknya. Rambut perangnya kelihatan bersinar walaupun di dalam kabin itu, keadaannya sedikit gelap. Hanya beberapa lampu dipasang di sepanjang kabin pesawat boeing 747 itu untuk memudahkan para penumpang untuk tidur sepanjang perjalanan mereka ke Australia, lebih tepat lagi, Adelaide.

Di tengah-tengah kesunyian kabin itu, dia teringat akan kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Hamdan. Kisah seorang pemuda yang amat dikasihi oleh Rasulullah saw.

"Kamu tahu dizaman Rasulullah, ada seorang pemuda yang sangat berani dan pengorbanannya jika dibandingkan dengan kesusahan yang pemuda zaman sekarang pernah alami, memang tiada tandingannya." suara Ustaz Hamdan yang lemah lembut namun tegas itu terngiang-ngiang di sudut kepala Aidil.

"Namanya Usamah bin Zaid, anak kepada Zaid bin Harithah, salah seorang sahabat kepada nabi. Kasih dan sayangnya Rasullullah kepada anak kecil itu setanding dengan kasih dan sayangnya Rasulullah kepada cucunya baginda itu sendiri. Pernah suatu kali ketika Rasulullah sedang duduk beristirahat, cucu baginda Hassan dibenarkan baginda untuk tidur di peha sebelah kanan, manakala dipanggilnya baginda kepada Usamah untuk tidur di bahagian kiri." sambung lagi ustaz yang bertubuh kecil itu.

Seringkali ceramahnya di Surau Kampung Derga dipenuhi oleh orang ramai yang selalu bertandang ke surau kecil itu. Mungkin gaya penyampaiannya yang cukup santai menarik minat ramai orang, terutamanya golongan muda. Mereka suka dengan pendekatan dakwah yang dibawa oleh ustaz tersebut.

"Ketika umurnya masih muda, dia pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menyertai Perperangan Khandak, tetapi ditolak Rasulullah kerana masih kecil. Hah, semasa kamu muda, apa je kehendak kamu yang kamu tak dapat? Tak dapat bag baru? Tak dapat pensil baru? Usamah tak dapat turut serta perperangan!"

Ustaz Hamdan bertanya untuk menarik perhatian yang sedang khusyuk mendengar. Beberapa remaja yang tadinya sedang bersembang-sembang dibahagian belakang surau, kini senyap memberi sepenuh perhatian kepada ustaz. Barangkali terkena dengan komentar yang diberi oleh penceramah itu.

"Semasa perperangan Mu'tah, Zaid bin Harithah diberikan tugas sebagai panglima tentera dan juga sebgai orang yang memengang panji tentera umat Islam yang pada ketika itu sedang berperang dengan tentera Empayar Rom Byzantine. Usamah juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta perperangan itu bersama-sama orang tuanya. Di dalam perperangan itu, dia sendiri menyaksikan dan merasakan betapa peritnya kehilangan seorang ayah. Zaid bin Harithah terkorban ketika cuba mempertahankan umat Islam sambil memastikan panji tentera umat Islam itu tidak jatuh ke tanah. Pada ketika itu, dia masih lagi remaja." ujar Ustaz Hamdan. Surau Kampung Derga itu sunyi, cuma kedengaran bunyi kipas di siling.

"Kita yang masih muda ni, apa je cabaran yang pernah kita alami? Putus cinta? Tidak dapat beli kasut bola baru? Apalah sangat jika dibandingkan dengan Usamah bin Zaid ni! Dia tidak dibenarkan menyertai perperangan tatkala hati membuak-buak untuk berjihad! Ayahnya mati syahid di medan perang! Pemuda ini sepatutnya dijadikan ikon untuk kamu semua berjuang dan bukannya para artis yang bukan-bukan tu!" si ustaz menegaskan kembali kepada para hadirin pada malam itu.

Aidil terdiam sebentar. Apalah sangat pengorbanan yang dia harus buat jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah Usamah bin Zaid lalui. Semoga Allah swt menguatkan dia supaya dapat melalui segala cabaran yang bakal bertandang menyambutnya ketika dia mencecah kakinya di bumi kangaroo itu.

Sedang dia asyik dalam fikirannya itu, seorang pramugari datang menghampirinya. Dia yang tersentak dari lamunannya itu mengalihkan pandangan kepada perempuan itu. Wanita itu hanya senyum, dan ditangannya ada sebotol arak dan sebiji gelas. Dia kelihatannya datang untuk memberi minuman kepada orang Inggeris itu.

"Sir, here is the drink that you've requested," pramugari itu menuangkan segelas wain kepada lelaki tua itu.

Aidil hanya memerhati tingkah laku orang tua itu. Dia kelihatan lebih segar apabila dihidang segelas arak. Ketika wanita itu berlalu pergi, orang tua itu menyapa Aidil.

"Do you wan't some ma' boy?" orang tua itu bertanya. Menurut gaya percakapannya, dia bukanlah orang Australia.

"No, thanks." Aidil menjawab ringkas. Tidakkah dia tahu orang Islam itu tidak dibenarkan minum arak, dan sudah pasti dari riak muka Aidil itu, mustahil bagi orang tua itu tidak mengetahui bahawa Aidil adalah seorang melayu Islam.

"You're a Muslim aren't you? I have lots of Muslim friends, and they drink a lot like me." Orang tua itu berbicara dengan nada separuh mengejek. Dia seolah-olah sedang mengajak Aidil untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Aidil berisgtifar berulang kali. Dia harus mengawal marahnya. Barangkali orang tua itu tidak bermaksud untuk memperlekehkan dirinya sebagai seorang Muslim.

"No, I don't drink. My religion forbids me to do so."

"You are not serious are you? A young man like you being tied up to a such set of strict rules called religion? Huh!"

Orang tua itu mendengus. Dia seakan-akan tidak percaya akan wujudnya pemuda seperti Aidil itu. Dari percakapan orang tua itu, Aidil sudah dapat mengagak bahawa pak cik adalah seorang Atheist. Seorang yang tidak percaya akan kewujudan tuhan yang menciptakan alam dan makhluk. Mereka mempercayai bahawa sesuatu kejadian itu berlaku dengan sendirinya dan di situ adalah kelemahan terbesar bagi mereka yang berfahaman sedemikian rupa.

"I do not worship that you worship, and you do not worship that I worship for you have a faith of your own, and I have mine. A simple verse from the Quran."

Aidil tersenyum. Dia berasa puas dengan jawapannya yang diberikan kepada lelaki itu. Dia cuma mahukan lelaki tua itu memahami yang dia berpegang teguh dengan ajaran Islam dan bukanlah orang yang sembarangan.

Lelaki tua itu tersenyum, mungkin menerima jawapan yang diberikan kepadanya. Dia menghabiskan minumannya lalu kembali mendengar musik di alat pemain musiknya itu.

Aidil kembali menutup mata. Di sudut fikirannya memikirkan perjuangan yang telah dia hadapi, walaupun kecil sekali jika dibandingkan dengan Usamah bin Zaid, dia telahpun berjaya menegakkan pendiriannya sebagai seorang muslim yang berpegang teguh dengan agamanya.

Sepanjang perjalanan itu dia hanya terdiam memikirkan apa lagi yang bakal menantinya di sana. Semoga Allah swt mempermudahkan urusannya.

Categories:

1 comment:

This box must be used with care.