2.18.2012

Duit bukan Isunya.

"Abang! Abang!" ada suara budak memanggil saya dari belakang.

Saya menoleh. Rupa-rupanya seorang budak lelaki yang saya kira berumur dalam lingkungan 10-12 tahun. Dia menghampiri saya sambil mengambil sesuatu dari beg galas hitamnya itu.

"Ada apa ya?" saya bertanya kembali. Budak lelaki itu berpakaian kemas. Baju kemeja sambil di tuck-in ke dalam seluar dan di kepalanya kepiah berwarna putih salju.

"Saya dari Madrasah *********, nak mintak sikit bantuan kewangan untuk bina madrasah kami." dia menerangkan sambil tersenyum.

Sesuatu yang kurang enak dengan transaksi ini. Tetapi saya tidak mahu bersikap skeptikal. Duit itu ke mana bukan urusan saya. Itu urusan si penerima dan Allah swt.

"Oh, boleh saja. Tapi, nak tanya skit.. kamu tak sekolah ka?" saya cuma mahukan kepastian.

"Sekolah la bang, pagi pi sekolah, petang mai la duk mintak derma." dia membalas ringkas.

Saya tersenyum sambil mengeluarkan dompet lalu menghulurkan beberapa wang kertas kepadanya.

"Yang ini untuk madrasah kamu, yang lagi satu ni untuk kamu. Mesti penat kan tengah-tengah panas macam ni?"

"Terima kasih bang!" dan dia masih berdiri di situ.

Saya mula mengorak langkah ke destinasi dan selang beberapa kali saya akan menoleh kembali ke belakang untuk melihat telatah si budak itu. Nampaknya di hadapan bank adalah tempat yang amat strategik untuk mengemukakan sebarang bantuan.


Dan terus terang, ini bukanlah pengalaman pertama saya, dan juga bagi ahli keluarga saya. Nampaknya aktiviti budak "madrasah" ini menular ke setiap penjuru di Alor Setar ini. Di pasar basah sewaktu pagi tadi, dan juga di hadapan sebuah kedai runcit pada pukul 9 malam. Iya, pukul 9 MALAM dan esoknya adalah hari sekolah. Budaknya berlainan setiap kali saya berselisihan. Ada juga kanak-kanak perempuan.

Terus terang, saya tidak kisah mengeluarkan duit, cuma saya rasa dengan menggunakan kanak-kanak atau murid-murid sekolah untuk meminta derma adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan tidak kena dengan etika sebenar penubuhan sesuatu sekolah/madrasah.

Bayangkan di waktu panas terik kanak-kanak dibiarkan berkeliaran meminta derma? Tak kira lagi di waktu malamnya? Bukankah mereka ini anak-anak yang perlu disekolahkan? Di manakah waktu mereka belajar dan mengulangkaji pelajaran? Bersukan dan beriadah? Dan juga berehat?


Kalau itu sebetulnya sebuah institusi yang menekankan pembelajaran sudah pasti kanak-kanak ini tidak akan merayau untuk meminta derma tambahan lagi pada waktu-waktu yang amat meragukan.

Oleh itu saya menyeru kepada pihak yang berkuasa, bertanggungjawab untuk menyiasat aktiviti kanak-kanak ini. Benarkah untuk 'madrasah' tercinta mereka ataupun untuk kepentingan mana-mana individu yang mengambil peluang terhadap kanak-kanak yang masih lemah ini?

Seharusnya perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ianya dapat memalukan kita sebagai seorang Islam.

Di manakah penghargaan dan kasih sayang yang sepatutnya kita curahkan kepada kanak-kanak itu? Sebaliknya mereka dikerah untuk memungut derma atas dasar nama sekolah Islam dan amatlah tidak logik jika derma diminta pada waktu-waktu yang kurang enak bagi kanak-kanak yang masih bersekolah itu.

Dan saya percaya, bukan hanya di Kedah sahaja perkara seperti ini sedang berlaku.

P/s: I'm going back tomorrow. Doakan kesalamatan saya. :)
Categories:

2 comments:

  1. Chom, aku pon ada terjumpa budak2 madrasah ni mintak duit. dia cakap dia dari kedah ke perak.. ustaz dia hantar mintak derma. tak pergi kelas. kesian la diorang ni. macam disalah gunakan je. mak bapak hantar gi sekolah suruh belajar, bukan pergi kl mintak derma. haih :(

    ReplyDelete
  2. haah, betul tu. aku kesian kan diorang.. why not cikgu ja mintak or diorang boleh organise a charity fair or sth.. benda yang nampak legit la.. ni bebudak tu jadi mangsa..

    ReplyDelete

This box must be used with care.