"Kau boleh tidur ke dalam flight tadi, Aidil? Aku dah nak macam zombie dah ni, tak nyenyak langsung!" Razif bertanya sambil mengeluh. Remaja bertubuh kecil itu datang menghampiri Aidil. Di tangannya ada sepasang kaca mata yang sedang dibersihkan dengan sehelai kain.
"Takdelah nyenyak mana, bolehlah skit-skit." Aidil membalas sambil matanya meliar mencari bagasi.
Pagi itu suasana di lapangan terbang Adelaide kelihatan agak sunyi dan muram. Mungkin mereka adalah antara penumpang terawal yang telah selamat mendarat di lapangan terbang itu. Dan mungkin juga faktor saiz lapangan terbang memainkan peranan, kerana saiz lapangan terbang ini tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Di ruangan mengambil bagasi itu tidak kurang bezanya. Sunyi. Hanya bunyi beberapa kakitangan lapangan terbang bersembang antara mereka.
"Aidil, bag aku dah lalu belum? Rasanya macam dah." Razif bertanya kembali, sambil memakai kaca matanya yang baru sahaja selesai dibersihkan.
"Entahlah, Razif. Aku ni macam tengah mamai lagi ni, bag sendiri pun aku tak berapa nak cam", Aidil menjawab persoalan Razif. Dua sahabat itu termanggu di hadapan conveyor sambil memerhatikan bag-bag orang lain yang sudah keluar dari tempat penyimpanan bagasi. Kelihatan pelajar lain juga sedang menunggu bagasi mereka dan mereka kebanyakkannya kelihatan sedikit letih. Kemungkinan mereka semua menghadapi masalah yang sama seperti Razif yang tidak dapat tidur dengan nyenyak di atas penerbangan.
"Hah! Buat apa tu!"
Aidil dan Razif segera menoleh ke arah belakang mereka.
"La, kau ke Kumar! Aku ingat siapa la tadi!" Razif bersuara sambil tersenyum.
Lelaki india yang tinggi lampai itu merupakan teman seperjuangan mereka berdua di kolej persediaan. Dia hanya mampu tersenyum melihat gelagat dua sahabat itu
"Ha, siapa lagi. Aku la! Kau dengan Aidil macam mana nanti? Ke mana lepas ni? Aku dah ada deal dengan orang local untuk sewa apartment dekat city." Kumar berhenti untuk menghela nafasnya.
"Dan dah ada orang untuk pickup aku dan bawa aku and beberapa orang yang lain ke sana."
"Oh, pasal itu, kami dah hubungi beberapa seniors dekat sini untuk bantu kami. Patutnya diorang dah sampai ni, tapi luggage ni, tak sampai-sampai lagi." Aidil menjawab.
Di Malaysia lagi Aidil telah berhubung dengan beberapa orang seniors di Adelaide memaklumkan ketibaan mereka di sana nanti dan Alhamdulillah, semua seniors sudi menyambut kedatangan mereka ke sini. Walaupun mereka semua tidak pernah bersua, tetapi kesediaan mereka yang telah terlebih dahulu datang ke sini untuk menyambung pengajian untuk menyambut kehadiran junior baru patut dijadikan contoh dan ikutan kepada semua. Aidil merasakan perjalanan musafirnya dipermudahkan oleh Allah swt. Jejaknya kakinya disini sudah ada orang yang datang untuk menjemputnya, dan juga menumpangkannya di rumah buat sementara waktu.
Setelah selesai mengambil bagasi masing-masing, Razif, Aidil serta beberapa lagi pelajar keluar dari ruang menunggu bagasi menuju ke ruang menunggu penumpang. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang melambai-lambaikan tangan mereka ke arah mereka.
"Assalamualaikum! Camne dengan flight tadi? Okay ke semua?" salah seorang lelaki yang melambai-lambai tadi datang menghampiri.
"Waalaikumussalam, flight tadi okay je. cuma tak nyenyak tido. Abang semua ni seniors yang saya contact tempoh hari tu ke?" Aidil bertanya kerana mahukan kepastian.
"Ye, kamilah seniors tu. Nama saya Ubaid, pelajar perubatan tahun ke-3 dan yang ini Ifwat." Ubaid yang bertubuh kecil itu menunjukkan ke sisinya.
"Ifwat Ghaisan bin Ahmad Hamidi to be exact atau Ifwat sahaja." Pemuda berkumis dan berjanggut nipis itu tersenyum. Barangkali teruja melihat kehadiran para pelajar yang bakal menambahkan bilangan penduduk Malaysia di Adelaide.
"Kamu semua ni tajaan JPA ke?" Ifwat menyambung dengan persoalan.
"Haah bang, semua ni pelajar tajaan JPA" Razif menjawab. Tangganya meliar menujukkan beberapa kumpulan belajar yang berkeliaran di sekitar lapangan terbang.
"Tak perlulah abang-abang ni, rasa tua sangat pulak, panggil je nama. Lagi rasa dekat kan?" Ubaid mencelah sambil tersenyum lebar ke arah Aidil dan Razif.
"Baiklah, Ubaid, Ifwat." Aidil membalas dengan senyuman menandakan sebuah persafahaman telahpun tercapai.
Matahari mula mengorak langkah ke ufuk barat. Perlahan-lahan Sang Mentari merangkak, ingin pulang ke tempat rehatnya. Dan seperti Sang Mentari itu, kedua-dua remaja itu pun pulang mengikuti seniors yang baru sahaja mereka temui. Semakin lama, mereka menjauhi lapangan terbang, dan mula memasuki kawasan perumahan yang dipanggil suburb. Walaupun musim ketika itu adalah musim panas, tetapi anginnya tetap dingin seperti bayu yang lembut sehingga terasa seolah-olah dihembus khas buat mereka.
Aidil hanya terdiam disepanjang perjalanan kerana keletihan, tetapi matanya masih aktif melihat suasana pada hari itu. Dia merasakan perjalanannya bermusafir di negara orang, menuntut ilmu sebagai tuntutan ibdah dipermudahkan oleh Allah swt. Dia yakin benar pertemuan meraka buat kali pertama ini bukanlah sebuah pertemuan yang sia-sia, malah akan menjadi sebuah pertemuan yang menjanjikan kelainan dalam persahabatan.
Kereta merah itu meriah dengan pelbagai soalan dari Razif yang tidak henti-henti bertanyakan pelbagai perihal. Ubaid dan Ifwat pula tidak letih menjawab satu persatu soalan yang ditujukan kepada mereka. Kadangkala diselitkan dengan senyuman, mungkin mengingatkan kembali sewaktu mereka pertama kali tiba di bumi Adelaide ini.
Dalam kerancakan Razif, Ubaid dan Ifwat bersembang, Aidil teringat kembali akan kuliah agama yang dihadirnya setiap hari selasa di surau kampungnya. Kuliah yang seringkali dipenuhi dengan masyarakat setempat kerana penceramahnya adalah seorang yang mudah didekati malah disayangi kerana sikapnya yang prihatin terhadap masyarakat di sekelilingya.
"Sesungguhnya, kita manusia ni hamba yang amatlah lemah dan menjadi sunnahtullah untuk para hambanya yang soleh mendapat ujian dari masa ke semasa. Masakan ada yang boleh mengakui keimanannya sedangkan dia masih belum diuji." Ustaz Hamdan menyambung lagi.
"Dalam ayat ketujuh surah al-kahf, Allah berfirman "Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya."
Para hadirin pada malam itu senyap, memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampai dihadapan. Hanya tawa dan tangisan kanak-kanak kecil dapat didengari memecahkan kesunyian malam itu.
"Allah swt sudah mengetahui tahap keimanan dalam diri masing-masing, dan ujian itu datang untuk menunjukkan kembali kepada setiap manusia sama ada dia betul-betul beriman ataupun tidak. Jika imannya kurang, maka dia harus sedar yang dia harus tingkatkan kembali tahap keimanannya terhadap Allah swt dengan mengambil langkah-langkah pemulihan."
"Dil, kau ni kenape? Senyap je ni?" Razif memegang bahu kanan Aidil.
Aidil tersentap dari lamunannya.
"Hah? Takde ape. Tengah fikir-fikir skit je tadi." Aidil menjawab, sambil tersenyum ke arah Razif.
Razif kembali menyambung perbualannya dengan Ubaid dan Aidil kembali terdiam melihat keluar cermin kereta. Ini baru permulaannya di negara orang, dan dia mendoakan supaya dipermudahkan baginya untuk setiap perkara dan ujian yang bakal menemuinya pada masa yang akan datang.
0 coretan:
Post a Comment
This box must be used with care.