5.16.2011

Indahnya Sabar

Assalamualaikum :)

Entah mengapa, tetapi penulis perasan bahawa entri yang lepas sudah tiada lagi dalam sistem penyimpanan blogger. Hendak ditulis kembali, ingatan pun sudah mulai kabur mengenai peristiwa tersebut. Sedikit dugaan di situ, tetapi penulis tidaklah terlalu bersedih atas perkara tersebut. Mungkin ada hikmah di situ, seperti penulis terasa untuk menulis sesuatu untuk menggantikan entri yang lenyap ke mana entah itu.

Bersabar. Terlalu mudah untuk penulis taipkan perkataan itu. Tak sampai 3 saat. Itu ditaip, bagaimana pula kalau dilafazkan sebagai kata-kata ucapan yang berunsurkan nasihat?

"Sabarlah, Man, bukan benda besar pun ni."

"Senanglah kau cakap, kau tak kena!"

Bercakap mengenai sabar itu senang, tetapi praktikalitinya dalam kehidupan tersangatlah susah, bukan apa, tidak semestinya dalam setiap perkara kita mampu menahan marah. Mungkin hal sekecil kehilangan kasut selipar jepun, atau kehilangan entri blog (ehem..ehem..) tidak akan menimbulkan amarah yang amat, bagaimana pula dengan perkara besar seperti kehilangan harta benda yang tinggi nilainya, ataupun kematian ahli keluarga yang terdekat? Sudah pasti ketika perkara itu berlaku, kesabaran kita sebagai seorang hamba akan diuji dengan sehebat-hebatnya.


Bersabar, perlukah?

Rasionalkah untuk kita bersabar setiap masa? Bukankah kesabaran kita mempunyai had, dan jika terlebih had ini, maka hilanglah segala kewarasan akal kita untuk berfikir lagi?

Kita bersabar kerana Allah swt itu sukakan akan perbuatan itu.

"Dan Allah menyukai orang-orang yang sabar." (Ali Imran:146)

Tidakkah kita beruntung menjadi salah satu hamba-hambaNya yang disukaiNya kerana perbuatan kita yang sering kali sabar dalam setiap perkara? Seperti mana kita gembira dan suka disukai oleh orang-orang tersayang, seperti itulah malah lebih lagi, jikalau kita disayangi oleh zat yang Maha Penyanyang ini. Sungguh sangatlah beruntung bagi mereka yang sentiasa sabar ketika menghadapi ujian.

Kita bersabar kerana kita tidak pernah keseorangan.

"Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Anfal:46)

Bukan sahaja Allah swt menyukai sikap kita yang sering bersabar, Allah swt juga berserta dengan orang-orang yang sering sabar ketika menempuh pelbagai ujian. Ketika mana kita merasakan tiada lagi siapa yang dapat membantu, tidak lagi memahami segala kerenah manusia terhadap diri, dan pelbagai takdir dan ketentuanNya yang menimpa bertubi-tubi, kita terlupa sesuatu perkara. Kita ada Allah swt dan Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

Kenapa kita terlupa?

Besar kemungkinan kita sering berburuk sangka kepada Dia yang mengaturkan segala kejadian di alam ini.



عَنْ جَابِرٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَيَمُوْتَنَّ اَحَدُكُمْ اِلاَّوَهُوَ مُحْسِنٌ بِاللهِ الظَّنَّ فَاِنَّ قَوْمًا قَدْ اَرْدَاهُمْ سُوْءُ ظَنِّهِمْ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ (وَذَالِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِى ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ اَرْدَاكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ مِنَ الْحَاسِرِيْنَ)
"Dari Jabir berkata: Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah Azza Wajl (sebagaimana firman Allah) "Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, prasangka itu telah membinasakan dirimu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi". ((FUSHSILAT, 23:41). Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad.)

Janganlah bersangka buruk dengan Allah swt. Dia Maha Mengetahui, lebih dari apa yang seluruh manusia jika dikumpulkan untuk bersatu dalam pemikiran dapat fikirkan. Sungguh pengetahuanNya meliputi segala sesuatu. Jika kita merasakan kehilangan orang yang tersayang sebagai suatu ujian yang tidak tertanggung, maka ingatlah setiap ujian yang ada berselitkan hikmahnya. Dan ingatlah bahawa hikmah Allah swt ini pelbagai, dan tidak semestinya datang bergolek ke kaki kita. Sungguh Rahmat Allah swt ini terlalu luas jika dibandingkan dengan ujian yang menimpa!



Mereka juga tidak bersabar, kerana menyangkakan kehidupan di dunia adalah segala-galanya.


اَفَحَسِبْتُمْ اَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَانَّكُمْ اِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُوْنَ 
"Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"                    (Al-Mu'minuun :115)

Sungguh kalau mereka mengetahui bahawa adanya hari akhirat sana, sudah pasti mereka tidak akan mengeluh sepanjang waktu memikirkan nasib yang menimpa diri sendiri. Di akhirat sana adalah kehidupan yang kekal abadi, bukannya di dunia sementara ini. Maksudnya, segala kesusahan, keresahan, kepayahan yang melanda hidup kita, pasti akan suatu hari berakhir, seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah swt pada waktu yang telah ditetapkanNya. Dan ganjaran mereka yang bersabar, cukuplah indah!

Dan janganlah ingat bahawa setiap kesabaran itu tidak membawa kepada sebarang faedah.

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Az-Zumar:10)

"Mereka itulah orang-orang yang dibalas dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka, dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya." (Al-Furqan:75)

Balasan kesabaran itu Syurga. Siapa yang tidak mahukan Syurga? Cukuplah Syurga sebagai ganjaran yang terhebat buat mereka yang penyabar.


p/s: sabar itukan indah. :)
Categories:

0 coretan:

Post a Comment

This box must be used with care.