5.06.2011

menanti bukti untuk ditabur bakti.

"Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki, jangan saling marah dan jangan saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah." (Sahih Muslim)
Cuba renungkan kembali setiap langkah kita dalam berukhuwah? Tidak perlu spesifik kepada ukhuwah pun tidak apa, kepada dunia dan kehidupan yang kita jalani dalam kehidupan seharian pun sudah cukup. Mungkin kita akan salah bicara atau terkasar kata sekali sekala? Mungkin juga kita telah pun menghiris hati mereka dalam diam tanpa berbicara? Atau mungkin kita kurang menghargai mereka yang berada di sekeliling kita. Mengapa kita sering tersilap caturan dalam berukhuwah? Lihatlah kembali kepada perkara asas dalam berukhuwah. Berlapang dada.


Kita selalu melihat dan memikirkan, apa yang ada letaknya di fikiran kita bercampur baur dek hasutan syaitan, dan memikirkan perkara yang bukan-bukan kepada setiap perkara yang terjadi. Jikalau melihatkan manusia dalam kesusahan, kita akan terfikir sejenak, bukan apa, mahukan fikiran untuk merasionalkan tindakan. Kita berhati-hati dalam setiap urusan, bukannya apa, takutkan ditipu oleh manusia lain yang mempunyai motifnya yang tersendiri. Setiap ayat yang dikarang penulis membuatkan penulis mengimbaskan kembali pengalaman penulis semasa penulis masih lagi di peringkat awal tarbiyah.

Rasional Fikiran vs Rasional Hati

Pada suatu petang yang hening, di tengah-tengah kesesakan kota Adelaide penulis terserempak dengan pak cik yang tua. Tuanya tidaklah terlalu tua, sedangkan ayah penulis lebih tua daripada pak cik tersebut. Penulis baru sahaja lepas menunaikan rutin harian penulis di waktu tengahari, iaitu makan tengahari di sebuah restoran yang dimiliki oleh melayu tempatan. Memori penulis hanya dapat merekodkan ketika itu penulis sedang berseorangan, berbekalkan perut yang kenyang. Pak cik itu datang kepada penulis dan meminta sedikit duit untuk dijadikan tambang pulang, kerana dia kehilangan dompetnya dan tidak mempunyai duit bersamanya sama sekali. Dia menambah bahawa dia tinggal agak jauh dari kota Adelaide, barang kali 30 minit lebih jauhnya menaiki bas.


Penulis berhenti dan berfikir. Bagaiman kalau dia MENIPU? Perkara pertama yang terlintas di fikiran penulis, bagaimana kalau dia menipu penulis? Lalu bercambahlah ia kepada pelbagai persoalan lain akibat otak cuba merasionalkan keadaan pak cik ini. Dompet hilang? Jauh tinggal? Immigrant? Rasional otak kuat mengatakan dia menipu, tetapi di masa yang sama, hati penulis memujuk kuat supaya mempercayai dia. Ternyata rasional otak penulis menang, dan hati penulis dan 'rasional'nya dibiarkan di tepi, menanti waktu untuk diterima pakai kembali.

Seperti yang diduga, penulis mengatakan penulis tidak mempunyai sebarang wang bersama penulis, kerana penulis telah belanjakan ketika di kedai makan tadi. Niat penulis pada masa itu bukanlah sebab kerana ketiadaan duit, tetapi tidak mahu ditipu oleh pak cik itu. Duit bukannya masalah, kerana ketika itu mesin ATM hanyalah beberapa langkah jaraknya dari tempat pertemuan kami. Pak cik itu merayu kembali, katanya dia perlu pulang dalam kadar segera. Ketika itu hati penulis terasa goyah melihat pak cik itu merayu, tetapi rasional bukanlah tidak berteman, temannya ini amat kuat dalam membisikkan keraguan. 'LAKONAN'. "Eh, pandai pak cik ni berlakon.", rasional fikiran membisikkan pendapat.

"I am very sorry, sir, but you'd just have to ask someone else."

Penulis berlalu pergi meninggalkan pak cik yang mungkin dalam kesusahan itu sendirian, tercangak dan buntu untuk mencari bantuan. Penulis telah menolak peluang penulis yang telah tercatat untuk penulis membantu pak cik itu, peluang untuk beramal dan meraih ganjaran pahala. Sejak hari itu, penulis tidak lagi terserempak dengan pak cik tersebut dan lama kelamaan, hati penulis kembali berbisik, membuatkan penulis tertanya-tanya akan perihal pak cik tersebut.

Rasional Hati diasah tajam kembali.

Semasa penulis pulang ke Malaysia tahun lepas, penulis telah meluangkan masa yang banyak bersama keluarga, dan terutamanya abang penulis. Kami sering ke beberapa tempat bersama, dan tempat-tempat itu pula adalah tempat yang penulis tidak jangka bahawa penulis akan pergi. Tapi, ini bukanlah cerita mengenai tempat-tempat berikut, tetapi ini adalah penceritaan mengenai seorang hamba Allah yang kami ketemui ketika membeli makanan di sebuah tempat yang terkemuka dengan koleksi gerainya. Sedangnya penulis berseronok menaip message, dan abang penulis yang senyap melihat karenah penulis, kami di datangi oleh seorang lelaki. Nampaknya biasa saja, tiada cacat mahupun cela.



Dia memegang sekeping kad berukuran saiz A4, dan ditangannya adalah beberapa mainan. Rupanya dia adalah seorang yang pekak dan bisu. Penulis yang agak kurang menyenangi kehadiran lelaki tersebut, membuat isyarat tangan untuk memberitahu lelaki itu bahawa kedatangannya tidak disenangi. Terkejut penulis, melihat abang penulis memanggil kembali lelaki tersebut. Dia memberitahu bahawa dia mahukan 2 mainan darinya lalu menghulurkan beberapa duit kertas. Penulis hanya melihat, dan setelah lelaki bisu itu berlalu pergi ke arah pelanggan-pelanggan yang lain, penulis pun bertanyakan kenapa abang penulis berbuat demikian.

"Kalau dia menipu macam mana? Rugi duit tu, dah la mahal dia jual!" penulis bertanya kepada abang penulis.

Abang penulis dengan tenang menjawab, "Biarlah, itu dosa dia dengan Allah swt. Abang cuma mahu membantu dia, mana tahu dia benar-benar orang yang susah dan wajib dibantu. Lagipun dia bukanlah seorang peminta sedekah. Dan mainan-mainan ini untuk Ain dan Ameen jugak, anak-anak saudara ang jugak."

Benarlah sabda Rasullullah s.a.w,
"Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam." (Hadis Riwayat At-Tabrani)
Mengambil iktibar dari penceritaan pengalaman penulis ini, kita sebagai hamba Allah, hendaklah sentiasa bersangka yang baik-baik antara sesama makhluknya. Husnuzon. Bersangka baik.

Penulis tahu, bukan mudah untuk bersangka baik, terutamanya kepada mereka yang pernah mengalami peristiwa yang mengguris hati dan kepercayaan. Tetapi latihlah hati mu itu untuk mencintai kembali kebenaran, buatlah semuanya atas dasar menolong saudaramu dan berniatlah hanya kepadaNya kamu menolong saudara mu itu. Peluang untuk beramal sekali gus meraih pahala yang lumayan jangan ditolak jauh-jauh, mungkin tiada lagi peluang untuk berbuat perkara yang sama sekali lagi, seperti pak cik yang penulis terjumpa di kota Adelaide tersebut.
Categories:

2 comments:

This box must be used with care.